Penyakit Tidak Berjangkit Dan Risiko Anda

Monday, September 05, 2016


Penyakit Tidak Berjangkit Atau Non-Communicable Disease (NCD) merupakan masalah kesihatan yang utama di Malaysia. Jenis-jenis penyakit NCD yang utama adalah :

1) Penyakit kardiovaskular (seperti penyakit jantung, hipertensi dan strok)
2) Diabetis
3) Kanser
4) Penyakit respiratori kronik (seperti asma dan emfisema)

1) Penyakit Kardiovaskular


Penyakit Jantung

Seseorang dikatakan mendapat penyakit jantung apabila otot jantungnya tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh saluran darah yang sempit atau bekalan darah terhenti sama sekali.
Ini terjadi kerana pengumpulan lemak yang melekat di dinding saluran darah lama kelamaan menyekat atau mengurangkan pengaliran darah ke otot jantung.

Strok
Strok berlaku apabila saluran darah yang membawa oksigen dan zat-zat makanan atau nutrien ke otak tersumbat atau pecah. Apabila bekalan oksigen ke otak terputus, sel-sel saraf secara perlahan-lahan akan mati. Ini menyebabkan bahagian badan yang terkawal oleh sel-sel saraf ini akan juga terlibat dan tidak dapat berfungsi.
Selalunya, kesan strok adalah kekal. Ini disebabkan sel-sel otak yang telah rosak atau mati tidak dapat diganti.

Faktor Risiko Penyakit Kardiovaskular
✿ Obes
✿ Diabetis
✿ Tekanan darah tinggi
✿ Pemakanan yang tidak sihat
✿ Kurang senaman atau tidak aktif
✿ Merokok
✿ Tekanan perasaan (stress)

2) Diabetis


Diabetis adalah sejenis penyakit kronik tidak berjangkit yang berlaku apabila paras gula dalam darah adalah tinggi disebabkan oleh kekurangan insulin dan bertindak balas dengan tisu-tisu tubuh. Insulin adalah hormon dalam tubuh kita yang akan mengawal paras gula dalam darah. Diabetis merupakan salah satu faktor risiko bagi penyakit jantung atau kardiovaskular.

Jenis-jenis diabetis :
1) Diabetis jenis 1
2) Diabetis jenis 2
3) Diabetis ketika mengandung

3) Kanser

Kanser adalah sejenis penyakit yang berlaku apabila sel bertambah secara tidak normal menyebablan berlakunya ketumbuhan tidak normal atau juga dikenali sebagai tumor.

Tumor boleh dibahagi kepada bukan kanser (benign) ataupun kanser tidak merebak ke bahagian tubuh badan atau organ yang lain. Kanser pula boleh merebak ke bahagian tubuh badan yang lain sekiranya tidak dirawat.

4) Penyakit Respiratori Kronik

Penyakit  respiratori kronik adalah penyakit sistem pernafasan yang berlaku apabila terdapat penyepitan dan radang (inflamasi) pada saluran pernafasa.

Merokok adalah penyebab utama penyakit ini. Ia boleh menyerang sama ada lelaki atau wanita dan ia meningkat dengan usia.

Gejala Penyakit Respiratori Kronik
✿ Sesak nafas sewaktu melakukan aktiviti atau semasa rehat
✿ Sesak nafas terutama waktu pagi semasa bangun tidur
✿ Batuk berkahak berpanjangan
✿ Nafas berbunyi (wheezing)
✿ Simptom kegagalan paru-paru dan jantung bengkak dan bengkak kaki


PENYAKIT NCD BOLEH DICEGAH

✔ Bersenam sekurang-kurangnya 3 kali seminggu, 20-0 minit setiap kali
✔ Makan secara sihat
✔ Kekalkan berat badan unggul
✔ Berhenti merokok
✔ Belajar menangani stress
✔ Periksa tekanan darah
✔ Periksa paras gula dalam darah
✔ Periksa paras kolestrol dalam darah
✔ Lakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala

Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia

No comments:

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke Blog Kak Feni. Sila tinggalkan komen untuk Kak Feni kunjung ke blog anda kembali. Thanks !

Powered by Blogger.