8 Cara Mudahnya Menjemput Rezeki

Friday, September 07, 2018
Semalam Kak Feni buka-buka youtube untuk dengar ceramah agama. Maklum sajalah Kak Feni ni kan jarang sangat boleh keluar. Boleh tengok online jela untuk menambah ilmu. Kak Feni kongsikan disini supaya sama-sama kita amalkan.

Menjemput rezeki itu lebih mudah dari mencari rezeki. Macam kita nak tangkap rama-rama, jenuh kita berlari sana sini. Tak dapat-dapat. Kalau kita tahu cara yang betul. InshaAllah rama-rama itu sendiri akan datang. Bagaimana ? Buat apa yang rama-rama suka. Apa yang rama-rama suka ? Bunga. Ya bunga. Tanamlah bunga banyak-banyak. Hias cantik-cantik. Dengan sendirinya rama-rama akan datang ke tempat kita. Begitulah ibaratnya cara kita menjemput rezeki.

Antara cara mudahnya menjemput rezeki ialah :-


1. Betulkan niat.

Perbetulkan niat kita untuk mendapatkan sesuatu. Contohnya kalau kita nak banyak duit. Duit tu untuk apa ? Kita kena niat untuk buat Allah sayang dengan kita. Macam dapat duit banyak supaya dapat membantu orang lain yang lebih memerlukan. Nak banyakkan bersedekah dan berzakat. Bukan nak dapat duit banyak sebab nak bermegah di dunia ini.

2. Banyakkan Bersedekah

Sedekahlah dengan ikhlas hati untuk mendapat kasih sayang Allah. Ikhlaskan hati dan percaya bahawa Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Sesungguhnya "tidak akan miskin seseorang itu dengan bersedekah". Malah Allah akan gantikan dengan yang lebih baik. Bersangka baiklah dengan Allah.

3. Solat awal waktu

Jaga solat kita. Bila kita jaga hubungan dengan Allah. Allah akan jaga kita. Kita akan rasa keberkatan waktu dengan solat awal. Terasa masa itu berlalu dengan perkara yang bermanfaat.

4. Amalkan Surah Al-Waqiah

Ajari diri untuk amalkan surah Al-Waqiah setiap malam. Anak-anak pun harus diajar untuk mengamalkan surah ini. Banyak kelebihan bila kita amalkan surah Al-Waqiah ini. Antaranya ialah memberi kekayaan bukan sahaja dunia malah akhirat.

5. Solat Dhuha

Lakukan solat sunat Dhuha 4 rakaat atau lebih setiap hari. Minimum 2 rakaat sehari, inshaAllah Allah akan cukupkan keperluan kita untuk hari itu.

6. Solat Tahajud

Bangun pada 2/3 malam untuk bersujud dan meminta agar Allah mengabulkan segala permintaan kita. Bangun solat 2 rakaat dan berdoa memohon diberikan kebaikan atas segala apa yang kita inginkan. Berbicaralah dengan Allah apa sahaja permintaan atau masalah yang kita hadapi.

7. Solat Sunat Hajat

Selepas solat tahajud lakukan solat sunat hajat untuk memohon bantuan dari Allah. Lagi banyak kita memohon kepada Allah lagi Allah suka. Allah suka kepada hambanya yang merayu dan memohon bantuan dariNya. Kita hamba dan DIA adalah tuhan kita.

8. Bertaubat

Kadang-kadang rezeki kita tersekat disebabkan oleh dosa-dosa kita yang lalu. Jadi bertaubatlah kepada Allah untuk memohon petunjuk dan hidayah dariNya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang terhadap hamba-hambanya. Lakukan solat sunat taubat dan bertaubat nasuha untuk terus berubah menjadi insan yang lebih baik. Buat sesuatu kerana ingin mendapat cinta dan kasih sayang Allah.

Percayalah bila kita dekatkan diri dengan Allah. Buat apa yang Allah suka, inshaAllah akan terbuka banyak pintu rezeki dari sumber-sumber yang kita tidak sangka-sangka. Yakin dengan kasih sayang Allah melebihi dari kasih sayang sesama makhluk.




2 comments:

Terima kasih kerana sudi berkunjung ke Blog Kak Feni. Sila tinggalkan komen untuk Kak Feni kunjung ke blog anda kembali. Thanks !

Powered by Blogger.